Posted by Disiniku Mencari Sinar on 26 Mei 2009
Jawatan adalah amanah besar yang terpaksa dipikul di dunia,
dan ia terpaksa pula menjawab dihadapan Allah di hari akhirat, maka selayaknya
seseorang itu menangis dengan jawatan yang dipegangnya.
Bukan menangisi bila ia tidak dipilih; bahkan kalaulah kita menyedari
betapa beratnya amanah ini, nescaya kita akan mengucapkan 'terima kasih' kepada
sahabat yang tidak memilihnya, kerana mereka telah menolong meringankan kita di
hadapan Allah di akhirat.
Mari kita meneliti pesanan Rasulullah s.a.w. kepada Abu Zar
al-Ghifari yang datang memohon jawatan kepada Rasulullah s.a.w.;
"Wahai Abu Zar, kamu lemah sedangkan jawatan yang kamu
minta ini adalah amanah. Dan dengannya (jawatan) kelak di hari akhirat kamu
akan menyesal dan dukacita; melainkan kamu ambil kerana kamu layak memikulnya,
dan kamu tunaikan pula amanah itu."
Abu Zar adalah sahabat nabi yang pernah pengsan kerana
takutkan Allah, jauh berbeza dengan kita hari ini.
Sabdanya lagi: "Mana-mana pemimpin yang mengkhianati
rakyatnya, maka ia di dalam neraka." (Riwayat Tabrani)
Sebenarnya terlalu banyak hadis yang sangat menggerunkan
bagi orang yang memikul amanah, namun dikhuatiri akan tiada orang yang sanggup
menerima jawatan yang diamanahkan kepadanya, maka memadailah dengan peringatan
ini, menyebabkan ia takut untuk menerima jawatan yang diberi.
Antara menerima dan menolak amanah memimpin
Lalu ada yang bertanya kalau demikian, apakah kita harus
biarkan jawatan disandang oleh orang yang tidak layak untuk menguruskan
organisasi kita. Kita melihat tidak timbul soal tidak layak, kerana semua
pendokong kepimpinan yang ada adalah mereka yang sangat layak memikulnya.
Kita hanya memilih yang terbaik dari yang baik-baik, kerana
itu sifat yang ada kepada kita adalah tidak melampau dalam mengharapkan jawatan
untuk dimenangi, sehingga sekiranya kita tidak terpilih kita melakukan sesuatu
diluar adab berjamaah, sehingga tindakan kita tidak menguntungkan jamaah bahkan
menyusahkan jamaah.
Kalau diperingkat awal kita menyatakan 'saya hanya menawar
diri', apa makna kalau kita tewas atau tidak dipilih kita rasa kecewa,
melarikan diri dari jamaah, mendiamkan diri, mengharapkan dalam hati agar yang
menang gagal dan kerjanya, bahkan lebih malang lagi kita mengambil sikap
memusuhi pesaing kita.
Pendokong jamaah harus sedar dengan perangkap syaitan dan
hawa nafsu yang sangat licik, untuk merosakkan dirinya dan menjauhkannya dari
perjuangan Islam. Lantaran itu ucaplah tahniah kepada pesaing kita yang menang
dan katakan kepadanya: "Tahniah atas kejayaan anta demi jamaah, dan ana akan
bantu anta dalam urusan ini". Kata-kata begini dan seumpamanya akan
melemahkan hawa nafsu jahat dan mengecewakan syaitan dari merosakkan kita.
Jawatan bukan untuk direbut
Jawatan bukanlah sesuatu yang perlu direbut, tetapi menerima
penyelesaian secara syura adalah baik. Sama ada untuk jamaah atau untuk diri
penerima jawatan.
Kita perlu menyedari bagaimana Baginda Rasulullah s.a.w.
mengingatkan kita:
"Sesiapa yang menghendaki jawatan, sedang jamaah tidak
meredainya, maka ia tidak akan ditolongi Allah dalam mengatasi masalahnya, dan
sesiapa yang menerima jawatan sedang jamaah mengharapkannya, maka Allah akan
membantunya dalam segala urusannya." (mafhum dari Hadis rasulullah s.a.w.)
Menerima kaedah syura bermakna redha dengan keputusan yang
dibuat oleh jamaah ke atas diri kita, dan tidak dianggap redha seandainya kita
meluahkan rasa kecewa di luar majlis itu. Demikian juga adalah malang bagi
pimpinan seandainya menyatakan bangkangan kepada apa yang telah diputuskan oleh
jamaah.
Apa makna berada dalam jamaah seandainya kita tidak boleh
redha dengan keputusan jamaah? Lebih malang lagi bilamana kita merasa bahawa
kita lebih penting dari jamaah atau merasai jamaah akan lemah kerana tiadanya
kita.
Tidak boleh lari dari amanah
Menolak sesuatu jawatan yang diamanah juga merupakan suatu
yang bertentangan dengan sifat jamaah. Seseorang pendokong jamaah hendaklah
meletakkan kepentingan jamaah lebih dari kepentingan dirinya dan keluarganya,
kerana itu ia tidak boleh lari dari menerima jawatan yang diamanah kepadanya.
Kita bukan berhadapan dengan budaya merebut jawatan,
sebaliknya kita berhadapan dengan sikap ahli yang tidak mahu menerima jawatan.
Sikap ini juga tidak membantu jamaah dalam membina kekuatan.
Terkadang sikap ahli dan sebahagian pendokong jamaah yang
enggan menerima jawatan diamanahkan kepadanya, menyebabkan timbul dua keadaan:
1) Jamaah kehilangan tenaga yang berwibawa, dan keadaan ini
melambatkan kejayaan dalam perjuangan Islam.
2) Tindakannya mendedahkan jamaah kepada mehnah, fitnah sama
ada akan ada yang menganggap jamaah membelakangkan orang yang dianggap layak;
atau ia menjadi golongan yang suka komplen dan kritik kelemahan jamaah. Kerana
mereka yang berada diluar padang sangat senang mengkritik pemain yang
bermengah-mengah di tengah padang.